PEMAIN pertahanan tengah Kuala Lumpur (KL City FC), Giancarlo Galifuoco mengakui Liga Bolasepak Malaysia memiliki kualiti tinggi dan berada pada tahap yang baik.

Biarpun telah bermain untuk banyak kelab besar di beberapa negara, Galifuoco masih mengagumi liga di Malaysia yang disifatkan antara yang terbaik pernah disaksikan ketika bergelar pemain.

“Saya rasa rakyat Malaysia tidak sedar betapa bagusnya bola sepak anda. Kualiti bola sepak anda adalah sangat bagus.

“Saya telah bermain di England, Itali Australia, dan saya pernah bermain di Liga Juara-Juara, tetapi kualiti di Liga Malaysia adalah pada tahap terbaik,” jelasnya ketika ditemui pada Siri Jelajah Piala FA Emirates di I-City, Shah Alam pada Rabu.

Jelasnya, kualiti yang ada pada liga tempatan bukan sahaja dengan lambakan pemain import, malah dia turut memuji kualiti yang dipamerkan pemain tempatan yang disifatkan berada pada tahap yang disegani.

Antaranya adalah penyerang muda KL City FC, Haqimi Azim Rosli serta pemain sayap Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Mohd Hanapi yang  ternyata berada pada satu kelas yang berbeza dan sangat matang dalam permainan bersama kelab yang disertainya.

“Anda ada pemain yang baik seperti Haqimi Azim Rosli dan Arif Aiman. Ini adalah kualiti bola sepak terbaik pernah saya saksikan dalam liga.

“Liga Malaysia menjadi semakin kompetitif kerana pemain telah berkembang menjadi semakin bagus. Pemain muda semakin berkembang dengan sangat baik. Haqimi adalah pemain luarbiasa berbanding 2 tahun yang lalu. Sudah tentu lebih baik kerana dia bermain di KL City FC,” ujarnya.

Tidak seperti di Australia, rakyat Malaysia memberi tumpuan penuh terhadap sukan bola sepak yang merupakan ibu kepada segala jenis sukan di negara ini.

Manakala, ianya tidak berlaku di Austalia apabila minat rakyat Austalia berpecah kepada beberapa kategori sukan dan sokongan itu seakan-akan berbelah bahagi.

“Malaysia adalah negara yang 90 peratus dari rakyatnya memfokuskan bola sepak sebagai sukan no.1 di negara ini.

“Jika di Australia, kita ada terlalu banyak sukan yang akan disaksikan dalam sesebuah keluarga.

“Satu keluarga menonton bola sepak, lagi satu ragbi, satu lagi golf , satu lagi mengikuti sukan kriket,” katanya.