PERTAHANAN Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco mengakui keputusannya untuk menyertai kelab Lembah Klang itu adalah salah satu tindakan terbaik yang pernah dilakukan sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Gallifuoco atau mesra disapa GG itu menyertai KL City pada 2021 dan berjaya mengecapi pelbagai kejayaan di peringkat domestik dan antarabangsa sekali gus bersyukur dengan apa yang diperolehinya di Kuala Lumpur.

Sejak menyertai KL City, GG layak ke final tiga kejohanan sepanjang tiga tahyn berturut-turut dan bergelar juara Piala Malaysia pada 2021, naib juara Piala AFC pada 2022 dan naib juara Piala FA Malaysia pada 2023.

Giancarlo Gallifuoco ketika aksi pramusim dengan KL City

“Menyertai KL City adalah salah satu tindakan paling hebat pernah saya lakukan. Sangat gembira dan bersyukur dengan kelab ini kerana ianya diuruskan dengan baik meskipun ada beberapa masalah dalaman namun dapat diatasi dengan baik oleh pengurusan.

“KL City juga menyebabkan saya dapat beraksi di peringkat Asia sebagai pemain utama sehingga bergelar naib juara Piala AFC dan saya sangat berbangga dengan apa yang dicapai bersama-sama kelab ini serta para penyokong yang hebat,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Tonggak kelahiran Australia itu juga teruja untuk membawa ‘The City Boys’ beraksi di pentas AFF Shopee Cup yang julung kali diadakan dan berharap dapat mengulangi pencapaian yang dilakukan mereka ketika mencipta sejarah di Piala AFC.

KL City kini dalam persiapan untuk menghadapi musim Liga Malaysia 2024-25

“Semestinya saya teruja beraksi di Shopee Cup. Ini sekali lagi peluang terbaik buat kami untuk bawa nama Kuala Lumpur ke pentas Asia dan kami berpeluang cipta sejarah di kejohanan ini.

“Saya juga sekali lagi dapat beraksi di peringkat Asia dan kali ini di Asean bersama KL City dan ini adalah pengalaman yang cukup baik dan membanggakan dalam karier saya sebagai pemain profesional,” ujarnya.

Giancarlo dan KL City kita dalam proses mempersiapkan pasukan bagi menghadapi permulaan musim baharu Liga Malaysia 2024-25 dengan Kuching City FC bakal menjadi lawan sulung pada aksi pembukaan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 12 Mei nanti.