MESKIPUN diperkuat dua pelumba muda, pasukan pecut lelaki negara membuktikan mereka mampu untuk mengorak langkah lebih jauh dalam acara itu apabila meraih gangsa pecut berpasukan lelaki, basikal trek Sukan Asia Hangzhou.

Kemampuan pelumba muda seperti Umar Hasbullah dan Muhammad Ridwan Sahrom yang tampil buat kali pertama di temasya Sukan Asia, Hangzhou, menyerap tekanan, cukup memberangsangkan ketika mereka bersama-sama pelumba berpengalaman Muhammad Fadhil Mohd Zonis, berjaya mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengatasi trio Taiwan, Yang Sheng Kai, Kang Shih Feng, Shiao Shih Hsin.

Barisan pelumba negara itu mencatatkan masa 44.165s manakala lawan, 44.276s.

“Gangsa kali ini… bagaikan pingat emas kepada kami terutamanya dengan mengambil kira sumbangan dua pelumba baharu (Umar dan Ridwan), tanpa mereka kita tak dapat keputusan ini,” kata Fadhil, mengulas mengenai makna pingat gangsa kepada mereka.

Pada temasya Jakarta-Palembang lima tahun lalu, trio negara terdiri daripada rangkaian berpengalaman, Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil, memenangi pingat perak, selepas tewas kepada trio China.