PASUKAN Negeri Sembilan FC (NSFC) memperoleh tiga mata selepas mengalahkan pasukan Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu malam.
Gol tuan rumah hadir menerusi tiga pemain import iaitu Gustavo Almeida Dos Santos, Armando Pinto Islame dan Matheus Alves Leandro.
Meskipun pasukan pelawat turut melakukan asakan bertali arus, namun ketangkasan Ahmad Syihan Hazmi sebagai penjaga gawang menjadi sebab pintu gol Negeri Sembilan FC masih belum dibolosi.
Percubaan terbaik anak buah Cristophe Gamel hadir menerusi Azam Azih dan Shahrul Nizam masing-masing pada minit ke-65 dan 79.
Pasukan Sri Pahang dilihat bergelut untuk melancarkan serangan kerana tekanan tinggi yang dihidangkan oleh barisan pemain Negeri Sembilan FC.
Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan FC naik satu anak tangga ke kedudukan ke-2 Liga Super manakala Sri Pahang FC kekal pada kedudukan ke-10 liga.