JURULATIH berbasikal kebangsaan yang berdepan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap atlet wanita, dilapor sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan perkembangan terkini isu terbabit berkata, siasatan tetap diteruskan biarpun jurulatih itu tidak lagi berkhidmat bersama skuad kebangsaan, kerana ia melibatkan kes jenayah yang disiasat polis dan bagi mendapatkan keadilan buat atlet dan juga jurulatih terbabit.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sampaikan sumbangan RM10,000 kepada Footgolf Malaysia.

“Jurulatih itu sebenarnya sudah meletakkan jawatan.. ini yang baru saya terima sebentar tadi. Sejak kes sampai ke pengetahuan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), mereka telah mengambil tindakan menggantung tugasnya dan latihan diberhentikan.

“Biarpun jurulatih itu telah meletakkan jawatan, siasatan tetap diteruskan kerana laporan polis sudah dibuat. Jadi siasatan ini kena adil untuk atlet dan tertuduh, sekiranya tuduhan tidak benar ada keadilan kepada yang dituduh.

“Selepas membaca laporan polis yang dibuat oleh atlet semalam (kelmarin), saya telah menghubungi Majlis Sukan Negara (MSN) serta-merta dan kita mengaktifkan pegawai pelindung MSN selepas pelancaran Kod Sukan Selamat.

“Pihak Polis, MSN dan PKBM akan melakukan siasatan terperinci dan saya akan memantau perjalanan siasatan ini terutamanya di peringkat MSN dan akan pastikan tindakan dilakukan dengan cepat,” katanya, ketika ditemui pada Pelancaran Kempen Crowdfunding Footgolf Malaysia, di Bukit Jelutong Golf Centre.

Footgolf Malaysia akan menggalas cabaran di Piala Dunia Footgolf, Orlando, Florida 2023.

Footgolf Malaysia memerlukan peruntukan RM500,000 untuk merealisasikan impian beraksi di Piala Dunia Footgolf di Orlando, Florida, Amerika Syarikat (AS).

Hannah turut mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada persatuan itu.

Terdahulu, dunia sukan tanah air sekali lagi digemparkan dengan kes gangguan seksual oleh jurulatih terhadap atlet wanita kebangsaan dan kali kini ia melibatkan sukan berbasikal yang kini dalam persiapan untuk beraksi di Sukan SEA Kemboja Mei depan.

Bimbang situasi bertambah buruk, pelumba terbabit mengambil tindakan segera dengan membuat laporan Polis untuk tindakan lanjut selain turut mengadu perkara itu kepada PKBM untuk tindakan lanjut selain demi keselamatannya.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, bagi memastikan persiapan atlet ke Sukan SEA Kemboja tidak terjejas dengan kes berkenaan, MSN akan pastikan seorang pegawai wanita dilantik bagi membantu pasukan untuk memantau segala aktiviti.

“Saya memberi amaran, tidak kira jurulatih, atlet atau sesiapa sahaja. Kalau kita dimaklumkan, tindakan tegas akan diambil. Saya tidak kira pesalah itu atlet nombor satu negara atau tidak. Kes sebegini wujudkan persekitaran tidak selamat.

“Saya bangga dengan atlet ini kerana dia berani buat laporan polis dan tidak simpan. Ini tindakan yang betul, jadi jangan rasa bersalah untuk membuat laporan polis. Saya puji tindakan atlet kerana berani buat aduan,” katanya.