SEORANG atlet berbasikal wanita kebangsaan membuat laporan polis terhadap jurulatihnya berhubung dakwaan gangguan seksual ketika sesi latihan baru-baru ini.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal  Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan perkara itu dan memberitahu FLASH SUKAN, laporan polis dibuat atlet terbabit pada Khamis.

“Sebagai langkah berjaga-jaga sementara kes ini disiasat dan diputuskan, PKBM telah mengarahkan jurulatih tersebut untuk digantung tugas sebagai jurulatih kebangsaan bagi tempoh siasatan, dan jurulatih tersebut tidak dibenarkan untuk berkomunikasi dengan atlet berkenaan,” kata Amarjit.

Bagaimanapun, Amarjit enggan berkongsi maklumat lanjut mengenai perkara itu kerana ia dalam siasatan polis.

Menurutnya, PKBM memandang serius apa jua dakwaan yang ebrkaitan dengan keselamatan atlet berbasikal kebangsaan dan pertimbangan mengenai perkara terbabit dimajukan kepada beliau, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKBM untuk siasatan seterusnya di peringkat badan induk berbasikal kebangsaan itu.

“PKBM tidak berkompromi dalam hal keselamatan dan kebajikan atlet-atlet berbasikal kebangsaan dan mengambil pendekatan bertoleransi sifar terhadap apa-apa bentuk gangguan seksual serta kelakuan lain yang ditegah di bawah Kod Sukan Selamat atau mana-mana perundangan semasa.

“Sekiranya tuduhan tersebut didapati berasas, tindakan yang boleh diambil termasuk penggantungan lesen dan penamatan kontrak perkhidmatan dan / atau pembatalanpelantikan ke pasukan berbasikal kebangsaan, sekiranya ada,” katanya.

Ujar beliau lagi, PKBM juga akan memberi kerjasama penuh kepada semua agensi yang bakal terlibat membuat siasatan dan keputusan dalam insiden terbabit

“Kita akan memberi kerjasama dalam sesi libat urus berterusan dengan semua pemegang taruh bagi memastikan peruntukan Kod Sukan Selamat akan sentiasa dipatuhi semua,” katanya.