PEMAIN Sepanyol, Santi Mina telah dihukum penjara empat tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan gangguan seksual dan kini sedang dalam proses rayuan.
Akibat pertuduhan itu, pemain Celta Vigo berusia 26 tahun itu yang telah menjaringkan 84 gol dari 300 penampilan LaLiga, telah diketepikan dari skuad sehingga proses rayuan selesai.
Mina dihadapkan ke mahkamah pada 28 Mac di Mahkamah Almeria bersama rakannya David Goldar, yang bermain untuk kelab divisyen dua Sepanyol, Union Deportiva Ibiza.
Dia dituduh melakukan serangan seksual terhadap wanita berkenaan di dalam sebuah karavan di luar sebuah kelab malam di resort percutian Mojacar berhampiran Almeria pada Jun 2017.
Pihak pendakwa negeri meminta Mina dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun manakala pihak peguam mangsa pula meminta hukuman selama sembilan tahun setengah.
Goldar bagaimanapun didapati tidak bersalah selepas dituduh sebagai rakan subahat dengan pihak peguam mangsa melihat kepada hukuman penjara empat tahun setengah untuknya.
Mina dan Goldar masing-masing berkata bahawa wanita berkenaan bersetuju untuk menjalinkan hubungan seksual sebelum dituduh memperkosanya pada 2017.
Pada ketika itu, Mina beraksi dengan Valencia sebelum kembali ke Vigo pada 2019 dan kini sedang menanti rayuan dari Mahkamah Tinggi Sepanyol.
Celta Vigo telah mengeluarkan kenyataan berkata, sebagai menghormati keputusan mahkamah, RC Celta telah bersetuju untuk membuka fail disiplin ke atas Santiago Mina bagi menjelaskan tanggungjawab berkaitan kes ini.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, kami membuat keputusan untuk mengeluarkan pemain ini dari latihan pasukan utama buat sementara sehingga tempoh rayuan berlaku.
“RC Celta menghormati keputusan pemain ini untuk memohon rayuan tetapi kami terpaksa mengambil tindakan ini buat mereka yang mencemarkan imej dan nilai kelab secara langsung.”