SKUAD sepak takraw sah menghadiahkan pingat buat kontinjen negara, selepas melangkah ke separuh akhir regu berpasukan Sukan Asia ke-19.

Kejayaan mara selaku juara kumpulan B itu hadir selepas mencapai dua kemenangan iaitu 2-1 ke atas Indonesia pada perlawanan pertama, dan 3-0 ke atas Korea Selatan di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua, hari ini (Selasa).

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun berkata, kemampuan Laos lolos ke separuh akhir tidak boleh dipandang ringan.

“Kita tidak boleh cepat berpuas hati dengan persembahan kita dan kita harus mantapkan lagi persiapan kita untuk separuh akhir esok (hari ini).

“Walaupun kita Laos bukan pencabar tetapi kita tidak boleh memandang rendah mereka kerana prestasi mereka meningkat selepas menewaskan Jepun, semalam,” kata Ahmad Jais.

Justeru, Ahmad Jais menegaskan, tumpuan kini terarah kepada usaha memperbaiki aspek pertahanan dan serangan meskipun ada peningkatan ditunjukkan ketika mereka meraih kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan.

Gandingan Farhan Adam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Muhammad Haziq Hairul Nizam cemerlang, tidak mencicirkan mata. |Pix FB Persatuan Sepaktakaraw Malaysia-PSM 

“Tumpuan untuk aksi menentang Laos adalah dari segi serangan tekong, libasan apit kanan, bola pertama dan juga pertahanan supaya kita boleh mendapatkan rentak yang lebih baik.

“Selain pertahanan, kita juga perlukan serangan yang mantap supaya dapat mengucar-ngacirkan pertahanan Laos,” katanya.

Prestasi tekong utama negara Mohammad Syahir Mohd Rosdi menimbulkan kebimbangan, selepas dia yang digandingkan dalam regu pertama menentang Indonesia, tewas dua set, manakala gandingannya bersama Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir ketika menentang Korea Selatan pula keciciran satu mata ketika menang 2-1. |Pix FB Persatuan Sepaktakaraw Malaysia-PSM 

Terdahulu, regu pertama negara yang dibarisi Farhan Adam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Muhammad Haziq Hairul Nizam tidak berdepan masalah merakam kemenangan 21-15, 21-11 ke atas trio Jeong Ha Sung, Kim Youngcheol dan Lee Jaeseong dalam masa 48 minit.

Pasukan negara bagaimanapun cemas, apabila regu kedua dibarisi Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi tumbang 17-21 pada set pertama namun bangkit 21-18 pada set kedua dan memenangi set ketiga, 21-19 ketika berdepan Seonwoo Youngsu, Kim Jungman dan Lim Taegyun.

Gandingan regu ketiga, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Hairul Hazizi Haidzir turut cemerlang menghadiahkan mata kepada pasukan.|Pix FB Persatuan Sepaktakaraw Malaysia-PSM

Mata kedua diraih itu menaikkan semangat regu ketiga yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Hairul Hazizi Haidzir, apabila melengkapkan kemenangan Malaysia dengan keputusan 21-10, 21-12 ke atas Lee Junuk, Lee Minju dan Lee Woojin.

Aksi separuh akhir dijadual berlangsung pada jam 2 petang di venue sama, esok (Rabu) dengan satu lagi aksi separuh akhir menemukan antara Thailand dan Korea Selatan.