KEJUARAAN Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD20,000 (RM87,470) bagi juara keseluruhan serta buat kali pertama tali pinggang kejuaraan diperkenalkan bagi juara keseluruhan dengan menyaksikan negara-negara seperti Indonesia, Singapura, Kyrgyzstan dan Amerika Syarikat bakal menghangatkan saingan berkenaan.

Sukan Silat mula diperkenalkan secara meluas apabila Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) ditubuhkan pada 1983 dan sehingga kini telah berjaya menghimpunkan ribuan pesilat dan pertubuhan silat di bawah payung PESAKA sekaligus tidak pernah putus melahirkan jaguh-jaguh silat di Malaysia.

Sarawak, sebuah negeri yang mempunyai pelbagai etnik tidak ketinggalan di dalam melahirkan pesilat yang handal selain mempunyai ratusan pertubuhan silat di bawah panji Rumpun Silat Sarawak (RSS).

Bagi Timbalan Presiden RSS, Datuk Mohamad Yusnar Haji Matalie, amat mustahak bagi memelihara dan memartabat pencak silat bagi memastikan ia tidak pupus ditelan arus zaman.

“Kami di RSS akan sentiasa memberi sepenuh hati dan komitmen di dalam memelihara serta mempromosi pencak silat di bumi Sarawak. Ia adalah satu manifestasi kepada keunikan seni budaya yang telah bertahan sehingga kini dan adalah menjadi satu kewajipan serta tanggungjawab untuk kita menjaga warisan peninggalan nenek moyang kita bukan sahaja di Malaysia malah di Sarawak,” katanya.

Beliau juga mahu menjadikan Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 sebagai sebahagian daripada langkah memelihara pencak silat selain sebagai penanda aras buat RSS bagi menganjurkan lebih banyak kejuaraan silat di Sarawak pada masa akan datang.

 

“RSS memasang impian agar kejuaraan edisi sulung ini dapat berlangsung dengan jayanya. Malah, kami mempunyai perancangan untuk menjadikan kejuaraan ini sebagai sebahagian dari kalendar antarabangsa sukan silat iaitu kami berhasrat untuk menganjurkan Kejuaraan Silat Siri Sarawak pada tahun akan datang.

“Kami menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg di atas sokongan yang diberikan kepada RSS selama ini serta kecintaan beliau terhadap sukan silat. Saya berharap kita dapat sama-sama meraikan budaya pencak silat serta mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi apabila bertarung di dalam gelanggang nanti,” katanya lagi.

Bagi menambahkan lagi kemeriahan, pelbagai program menarik dianjurkan bagi menghangatkan penganjuran antaranya acara Larian Pendekar, Pesta Makanan, Festival Kebudayaan anjuran Majlis Seni Sarawak.

Bumi Kenyalang itu bakal melakar satu lagi sejarah dengan penganjuran pertandingan Silat antarabangsa yang diberi nama Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 yang akan membuka tirai pada 27 Februari depan di Stadium Tertutup Kuching.

Kejuaraan edisi sulung yang dianjurkan oleh Rumpun Silat Sarawak itu membuktikan mereka benar-benar komited mahu mengangkat martabat pencak silat seiring dengan kerancakan aktiviti silat di bawah seliaan RSS bagi melahirkan lebih ramai pesilat di Malaysia.