PENGERUSI Koperasi Kakitangan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Berhad, Datuk Musa Yusof melancarkan Kejohanan Golf Malaysia Truly Asia Tourism 2023 buat julung kalinya dan akan berlangsung di Saujana Gold & Country Club pada 25 Oktober 2023.

Kejohanan Golf tersebut bakal menarik seramai 200 penyertaan daripada pemain domestik dan antarabangsa serta akan menerima ganjaran lebih daripada RM500,000 kepada para peserta tidak kira menang atau kalah.

Musa turut mendedahkan bahawa tanpa sokongan dan kerjasama daripada 43 buah organisasi luar, impian untuk merealisasikan acara ini serta jumlah tajaan yang ingin digapai mungkin tidak dapat direalisasikan dengan sempurna.

“Majlis hari ini juga dibuat adalah untuk menghargai semua rakan strategik yang telah bersama-sama menjalinkan hubungan dengan kami untuk memperkenalkan edisi pertama kejohanan ini.

“Jadi, saya amat bangga kerana Malaysia Truly Asia yang pada asalnya hanya sebuah jenama dan kini telah membuat transformasi menjadi satu acara sejurus saya pasti ianya akan mendapat perhatian yang banyak daripada peminat-peminat golf,” ujarnya dalam sidang media di IoI Resort Mall pada Khamis. 

Sementara itu, Ketua Sekretariat Malaysia Truly Asia, Ahmad Johanif Mohd Ali pula mendedahkan strategi utama acara ini diadakan iaitu untuk menjadi satu platform awal bagi pemain yang ingin melayakkan diri ke Kejohanan Golf oleh Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA).

“Kejohanan yang diadakan sehari sebelum LGPA ini juga bakal menjadi salah satu faktor untuk menarik para pemain bagi memasuki acara yang diadakan di Saujana Golf ini.

“Kami akan memastikan supaya acara Malaysia Truly Asia ini bakal berlanjutan dalam tempoh lima tahun lagi.

“Pihak kami juga bercadang untuk mengadakan Siri Jelajah Antarabangsa bagi meletakkan nama Malaysia Truly Asia ke persada dunia,” katanya kepada media.