BEKAS pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh Liu Ying bakal menganjurkan lebih banyak kejohanan selepas dia secara rasminya menggantung raket sebagai pemain profesional.
Baginya acara kali ini agak istimewa kerana buat julung kalinya memperkenalkan konsep baharu 3 lawan 3 yang akan dipertandingkan di peringkat amatur.
“Selepas ini, saya akan menganjurkan lebih banyak pertandingan badminton untuk memastikan sukan badminton akan berkembang lebih pesat.
“Seterusnya adalah 3 lwn 3. Ia bukan untuk pemain profesional. Ia adalah bagi pemain amatur. Saya rasa kita banyak pertandingan untuk professional tetapi kurang untuk amatur.
“Kali ini agak istimewa kerana sebelum ini tidak pernah ada acara yang menganjurkan 3 vs 3 tetapi kali ini kita cuba buat kelainan,” jelasnya.
Keputusan tersebut dibuat Liu Ying setelah mengambil kira minat rakyat Malaysia yang menggilai sukan tersebut namun tidak mempunyai peluang bertanding dan menyerlahkan bakat mereka.
Sambutan di lokasi awal kejohanan yang diadakan di Kuala Lumpur akan dinilai terlebih dahulu untuk melebarkan sayap kejohanan tersebut ke negeri lain.
“Saya tahu rakyat Malaysia sangat sukakan sukan badminton. Saya akan buat untuk beberapa kategori berbeza iaitu kepada veteran dan junior.
“Permulaan di Kuala Lumpur, kemudian di tempat lain. Saya hendak tengok sambutan dahulu. Mungkin seterusnya, Pulau Pinang dan Sabah, Sarawak,” ujarnya.