PEMAIN tengah Selangor FC, Faisal Halim telah digantung selama empat bulan, menurut kenyataan Selangor FC pada Rabu.

Hukuman itu dikenakan apabila Faisal terlibat dalam temubual bersama media selepas perlawanan Selangor FC tewas kepada Sabah FC 1-2 pada 28 April lalu. Dalam temubual itu, Faisal yang terkenal gaya SIIIUUU setiap kali menjaring gol dikatakan telah membuat kenyataan berbaur sensitif.

“Faisal Halim tidak akan disenaraikan kerana dia telah digantung selama empat (4) bulan, berikutan kenyataan media yang dibuat selepas perlawanan menentang Sabah FC pada 27 April 2023.

“Pada 25 Julai 2023, wakil kelab dan pemain hadir di hadapan Jawatankuasa Tatatertib untuk menghadiri Perbicaraan Tatatertib. Hari ini, kami telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib dan pemain akan menjalani penggantungan seperti berikut:

Penggantungan satu (1) Bulan akan bermula dari 25 Julai 2023 hingga 23 Ogos 2023.

“Baki tiga (3) bulan penggantungan akan ditangguhkan, (tertakluk kepada kelakuan baik pemain selama dua belas (12) bulan bermula 24 Ogos 2023 hingga 24 Ogos 2024),” menurut kenyataan kelab Selangor FC.

Ini bermakna, bintang Harimau Malaya itu tidak akan diturunkan untuk perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim, Kuala Lumpur City, Negeri Sembilan FC, dan kedua-dua perlawanan Piala Malaysia berdepan PDRM FC.