BINTANG Wales, Gareth Bale mengesahkan bahawa dia akan terlibat dalam Kejohanan Jelajah PGA hanya dua minggu selepas mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak.
Penyerang berusia 33 tahun itu mengumumkan persaraannya awal bulan ini bahawa sudah tiba masanya untuk dia menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak bersama kelab Amerika Syarikat, Los Angeles FC.
Bekas tonggak Tottenham dan Real Madrid itu akan membuat penampilan istimewanya pada Kejohanan AT&T Pebble Beach Pro-Am yang menawarkan hadiah sejumlah 7.3 juta Euro serta mengesahkan penyertaan sulungnya dalam Jelajah PGA di California awal Februari ini.
Mengimbau kembali kenyataannya pada 2022, Bale menjelaskan perbezaan sukan bola sepak dan golf kepada dirinya.
“Bola sepak adalah sukan nombor satu bagi saya. Saya dibayar untuk bermain dan sudah tentu saya akan melakukan yang terbaik. Golf pula adalah hobi saya sepertimana orang lain juga mempunyai hobi mereka sendiri.
“Tiada salahnya dengan bermain semua sekali. Ramai yang meminati sukan golf dan ianya adalah satu kenikmatan bagi saya,” jelas peledak utama Wales.
Pada kejohanan yang bakal dilangsungkan di Pebble Beach itu, Bale bakal bersaing dengan 156 pemain golf profesional, antaranya Juara Terbuka Amerika Syarikat, Matt Fitzpatrick, Jordan Spieth dan Luke Donald.
Turut hadir sebagai selebriti adalah pelakon Bill Murray dan Jason Bateman diiringi pemuzik, Backlemore serta ribuan penonton yang dijangka bakal menghangatkan suasana kejohanan tersebut.