PEMAIN tengah Wales, Gareth Bale melakukan kejutan apabila mengumumkan persaraan pada usia 33 tahun yang dilakukan menerusi laman sosial peribadinya.

Bekas bintang Real Madrid itu mengakui sudah sampai masa untuknya menggantung but dalam sukan yang sangat digemarinya sejak kecil dan berterima kasih kepada semua yang menyokong kerjayanya.

“Setelah memikirkan secara baik dan mendalam, saya mengumumkan persaraan saya daripada kelab bola sepak dan antarabangsa secara serta-merta. Saya sangat gembira kerana dapat merealisasikan impian saya sejak kecil yang memberikan antara momen menarik dalam hidup saya.

“Untuk kelab saya sebelum ini, Southampton, Tottenham Hotspur, Real Madrid dan akhirnya LAFC serta semua bekas pengurus dan jurulatih saya, staf, rakan sepasukan, para penyokong, ejen, teman dan keluarga saya yang luar biasa semua penggemar yang berdedikasi, agen saya, teman dan keluarga saya yang luar biasa, impak yang anda berikan tidak dapat dikira,” tulisnya dalam kenyataan itu.

Sepanjang kariernya, Bale telah mencatatkan 554 penampilan bersama kelab dengan 189 gol dan 139 bantuan jaringan dan berjaya meraih 21 piala termasuk lima gelaran Liga Juara-Juara UEFA bersama Real Madrid.

Dia juga turut membantu Wales sehingga ke separuh akhir Kejohanan Euro 2016 dan layak ke Piala Dunia Fifa Qatar 2022 selepas kali terakhir Wales layak pada 1958 dan dia dianggap salah seorang legenda bola sepak negaranya.