PENGENDALI skuad bola sepak bawah 23 (B-23) tahun negara, Juan Torres Garrido menyenaraikan 17 pemain bagi menyertai kem latihan pusat bermula 17 Mac ini, sebagai persiapan menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar, 15 April hingga 3 Mei 2024.

Daripada senarai itu, dua pemain yang berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin (Yokohama SCC) dan Annil Vigneswaran (Waldhof Mannhei) turut dipanggil.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, sebanyak 16 pemain berikut pula diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya terdapat perubahan dalam senarai.

 

“Mana-mana pemain di bawah ini yang tidak berada dalam skuad akhir untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Oman akan dilepaskan untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan,” menurut kenyataan FAM.

Bagi kempen Piala Asia B-23 2024 di Qatar nanti, skuad Harimau Malaya B-23 yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti aksi bertemu Vietnam pada 20 April dan Kuwait pada 23 April 2024.