PENGENDALI skuad Bawah 23 tahun kebangsaan, Juan Torres Garrido berpuas hati dengan dua keputusan perlawanan persahabatan menentang China meskipun tewas 1-2 dalam aksi kedua pada Selasa.

Sabtu lalu, skuad muda negara berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas lawan yang sama pada perlawanan pertama yang mengundang tanda tanya kepada penyokong tuan rumah tentang kekuatan pasukan mereka.

Garrido yang ditemui selepas perlawanan menganggap dua perlawanan ini adalah simulasi yang dijangka bakal dihadapi skuad negara ketika kejohanan sebenar Piala Asia B23 pada Jun.

“Ianya satu pengalaman yang baik dalam dua perlawanan ini kerana kami perlu menghadapi situasi yang berbeza. Pada perlawanan pertama pemain menunjukkan aksi yang memuaskan tetapi mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dalam perlawanan kedua ini.

“Selepas kehilangan seorang pemain dan bermain 10 orang selama hampir 60 minit, pemain berjaya mengawal keadaan dengan baik dan kami menganggap ini sebahagian daripada latihan berdasarkan situasi yang mungkin kami hadapi ketika Piala Asia nanti,” katanya.

Bekas pembantu Kim Pan-gon itu juga mengakui dia belum memuktamadkan skuad terakhir kerana masih belum bersedia dan akan menggunakan kem latihan pusat selepas ini sebagai medan untuk menentukan barisan terbaik yang akan dibawa ke Doha.

“Kami masih belum bersedia dan akan menjalani latihan pada Mac dan April. Setiap latihan dan perlawanan persahabatan adalah penting kerana kami perlu lebih baik sebelum menghadapi kejohanan sebenar.

“Masih terlalu awal untuk tentukan barisan pemain kerana pasti ada pemain yang cedera dan bermain di luar negara. Kita akan gunakan setiap kem latihan dan mendapat maklumat yang cukup baik dari setiap pemain pada kem kali ini.

“Kami juga berpuas hati dengan sikap mereka ketika latihan dan akan menunggu sehingga kem pada Mac untuk menentukan siapakah pemain yang ada sebelum membuat keputusan barisan terbaik,” jelasnya.

Dalam perlawanan kedua menentang China itu, Malaysia tewas menerusi dua jaringan pada babak pertama dan menjaringkan gol saguhati menerusi Aliff Izwan Yuslan sebelum dia dibuang padang yang memaksa Malaysia bermain 10 orang sepanjang babak kedua.