SELEPAS mengharungi dua perlawanan di Kejohanan Piala Sultan Johor, skuad remaja kebangsaan bukan sekadar gagal menjelmakan kemenangan sebaliknya menjadi pasukan paling kerap dirobek iaitu 13 kali.
Sedar akan kebimbangan peminat sukan tanah air mengenai persiapan pasukan ke Piala Dunia Remaja 2023, yang menyaksikan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah pada Disember tahun hadapan, ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, Muhammad Amin Rahim berkata, prestasi Young Tigers belum di tahap membimbangkan.
Katanya, persiapan ke Piala Dunia Remaja baharu sahaja bermula di Piala Sultan Johor, buat skuad remaja negara.
Menurutnya, beberapa kesilapan dalam dua perlawanan pertama itu, sudah dikenal pasti.
“Secara keseluruhannya, saya agak berpuas hati dengan prestasi pemain. Kita hanya mempunyai empat pemain yang pernah mewakili negara dan yang lainnya cetek pengalaman antarabangsa.
“Skuad bawah 21 tahun ini tidak berpengalaman apa lagi perancangan yang dibuat dibatasi pandemik Covid-19,” katanya.
Tambah Amin, pasukan lain dalam Piala Sultan Johor seperti India, Australia, Afrika Selatan, Great Britain dan Jepun, semuanya berada di puncak prestasi, malah pasukan-pasukan terbabit mempunyai pemain yang berpengalaman dalam skuad senior serta Olimpik.
“Secara fizikal juga, persiapan kita hanya cukup untuk permain beraksi selama 60 minit,” kata Amin lagi.
Amin mendedahkan antara kelemahan ketara yang dikenal pasti adalah pukulan sudut penalty, baik ketika menyerang dan juga bertahan.
Jelasnya, menjelang Piala Dunia Remaja tahun hadapan, skuad bimbingannya memerlukan perlawanan antarabangsa sekitar 40 hingga 50 perlawanan sebelum kejohanan itu bermula.
“Dari segi mental pemainnya perlu diberi perhatian bagi membolehekan pemain membuat keputusan-keputusan yang baik dalam perlawanan.”
Pada Selasa saingan Piala Sultan Johor kembali beraksi dengan Malaysia akan menentang Afrika Selatan pada ajam 8.30 malam manakala Great Britain menentang Australia pada jam 4 petang dan India menentang Jepun jam 6 petang.