SKUAD bola sepak Malaysia meraih tiga mata penting setelah mengalahkan Turkmenistan 3-0 pada saingan pembukaan Kumpulan E pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasinoal Bukit Jalil pada Rabu.
Kemenangan tersebut jadi modal berharga Harimau Malaya untuk menentang Bahrain yang dinilai sebagai pasukan terkuat di Kumpulan E.
Dihubungi Flash Sukan, bekas jurulatih UiTM FC, Raja Isa Raja Akram Shah, menyebut peluang Kim Pan-gon dan para pemain tetap terbuka.
Namun, skuad kebangsaan harus menggandakan kerja keras dan fokus sepanjang perlawanan.
“Saya tetap yakin Malaysia dengan gaya Pali Pali Korea mampu buat kejutan mendapatkan tiga mata.
“Corak permainan kita sudah mirip Vietnam. Cepat, tersusun dan effective. Ia sangat berkesan bermain intensiti yang tinggi dan transisisi menyerang dan bertahan sesuai dengan situasi permainan.
“Kalau anda lihat, Bahrain dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini menang dan seri adalah rekod dimiliki mereka semasa bertemu India dan Piala Asia menentang Nepal.
“Paling penting, Bahrain akan under pressure kalau separuh masa tak mampu menjaringkan gol dan akan lebih tertekan jika Malaysia pula menyumbat jaringan.
“Semua gol mereka diperoleh semasa melawan India dan Nepal sekitar minit 75 ke atas,” ujarnya yang kini melatih pasukan Liga 1 Bangladesh, Muktijoddha Sangsad.
Dia memberi penekanan bahawa perkara yang harus diperhatikan adalah perubahan permainan Bahrain yang melihat bahagian belakang Malaysia bermain baik dan memiliki pertahanan yang mantap dan tinggi.
“Boleh jadi Bahrain memainkan umpanan pendek yang cepat serta melakukan umpan cutback di kotak penalti Malaysia,” terang Raja Isa.
Di mata Raja Isa, pada penampilan kedua pasukan malam ini, satu mata sudah dianggap keputusan baik buat anak buah Pan-gon.
“Kalau terjadi, Malaysia berpotensi meraih mata ketujuh dengan mengalahkan Bangladesh pada aksi terakhir.
“Saya yakin dengan mata itu, tiket pusingan akhir mampu dikecapi,” katanya percaya faktor Malaysia sebagai tuan rumah dan penyokong fanatik Ultras Malaya mampu menjadi pemain ke-12 untuk menggerunkan Dilmun’s Warriors.
Malaysia dan Bahrain kini mengumpul tiga mata untuk berada di tangga teratas Kumpulan E selepas memenangi perlawanan pembukaan masing-masing, dengan Bahrain menewaskan Bangladesh 2-0 pada Rabu.
Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.