MASA semakin hampir buat skuad Harimau Malaya beraksi di stadium berkelas Piala Dunia di Qatar menjelang perlawanan pertama Kumpulan E, Piala Asia 2023 berdepan Jordan.

Sudah tentu, kekuatan anak buah Kim Pan-gon akan berganda dengan kehadiran ekor Harimau Malaya yang dikhabarkan turun beramai-ramai ke Stadium Al-Janoub pada 15 Januari ini.

Tugas untuk ‘menghasut’ pemain ke-12 supaya menggegarkan bumi Doha kini turut dipikul Harimau Gurun FT, satu komuniti kelab bola sepak melibatkan rakyat Malaysia di rantau ini khususnya di Qatar.

Presidennya, Azril Feeqry, 35 berkata, rakyat Malaysia di Doha dianggarkan dalam 5,000 lebih dan percaya suara penyokong Harimau Malaya mampu meniupkan semangat dan didengari seluruh pemain negara serta di barisan bangku simpanan.

“Saya jangka, mungkin sekurang-kurangnya 1,000 ke 2,000 penyokong akan berada dalam stadium. Memang kita nak ramaikan lagi rakyat Malaysia turun ke stadium.

“Kami nak merasai suasana getaran, aura di Piala Asia. Skuad Harimau Malaya kendalian memang memerlukan anda, tugas kami akan pastikan seberapa yang boleh hadir dan sokong Malaysia,” katanya bekerjasama dengan Capo Ultras Malaya, Lekir dalam membentuk gelombang luar biasa di kawasan penyokong.

Mengulas lanjut, Azril berharap tiga perlawanan Kumpulan E yang diharungi Malaysia nanti dimanfaatkan sebaik mungkin kerana ia adalah detik bersejarah kerana bukan mudah untuk memasuki peringkat pusingan akhir.

“Piala AFC 2023 kali ini adalah pasca Piala Dunia dan selepas 42 tahun kita menunggu untuk layak beraksi secara merit.

“Kenapa tidak kita hadir menyokong pasukan Malaysia. Sedangkan Argentina dulu penyokong dia pun sanggup datang ke sini beramai-ramai.

“Ada yang buat pinjaman, ada yang bergadai. Saya sempat bertanya kepada peminat mereka. Jawapan yang saya terima agak terkejut apabila pihak kerajaan Argentina sediakan pinjaman untuk datang ke Qatar termasuk tiket penerbangan dan segala penginapan.

“Jadi, kenapa kita tidak boleh demi Malaysia,” katanya.

Dia juga menggesa agar lebih ramai lagi rakyat Malaysia di tanah air dan rantau Arab ini turun ke Doha memberi sokongan padu kepada pasukan Harimau Malaya.

“Insha Allah, tiket masih ada, tempat tinggal dan tiket penerbangan pun masih ada. Sekarang ini, setahu saya makin murah. Jadi, ayuh cepat-cepat datang,” katanya.