DUA riak berbeza dapat dilihat di wajah pemain Pahang Rangers FC, Ridzwan Bakri dan pemain Johor Darul Ta’zim, Ekmal Shahrin ketika ditemui selepas berakhir perlawanan akhir Malaysia Futsal Cup 2023 di Stadium Malawati Shah Alam.
Ridzwan yang berjaya menjaringkan dua gol pada final dan membantu Pahang Rangers FC bergelar juara Malaysia Futsal Cup juga menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan serta Pemain Paling Bernilai untuk kempen musim ini.
Namun dia tidak mahu menggunakan gelaran itu untuk berlagak tetapi mahu menumpukan perhatian kepada Pahang Rangers dan skuad kebangsaan yang memulakan latihan esok.
Ini adalah perlawanan yang susah kerana kedua-dua pasukan mahu menang. Kami kurangkan tekanan dan fokus pada semua dan perbaiki pertahanan dan cari peluang untuk jaringkan gol.
“Syukur kerana ada medal baharu kerana banyak yang terbakar dan kejayaan ini adalah usaha satu pasukan manakala gelaran MVP ini tidak akan buatkan saya besar kepala,” katanya.
Sementara itu Ekmal Shahrin pula kelihatan sugul selepas tidak berjaya memberikan piala kepada JDT dan dia berazam untuk memastikan skuad mereka bertambah baik untuk musim hadapan.
“Saya rasa sedih sebab dapat kad merah pada penghujung babak kedua. Kami sudah berikan segala-segalanya tetapi tiada rezeki untuk menang dan kami akan kembali bangkit untuk masa akan datang,” jelasnya.
Pada aksi final itu, kedua-dua pasukan terikat 4-4 selepas masa tambahan sebelum Pahang Rangers muncul pemenang menerusi penentuan penalti dengan keputusan 3-1.