PEMAIN skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow menamatkan perburuan gelaran dalam Jelajah Dunia dengan memahat nama sebagai juara Terbuka Jerman 2024, lewat malam tadi.
Mara ke final menentang jaguh Switzerland, Dimitri Steinmann, Eain Yow yang berada di ranking ke-22 dunia mendominasi awal set pertama apabila mendahului 9-4 sebelum diheret ke mata dius dan memenanginya 12-10.
Pada set kedua juga tidak jauh berbeza namun kali ini, Eain Yow berjaya mengelak daripada lawannya menyamakan kedudukan dan memenangi 11-8.
Namun pada set ketiga berlansung sengit hingga pemain negara akur tunduk 10-12, sebelum mendominasi secara total set keempat dengan kemenangan 11-3.
Eain Yow menganggap: “Satu kelegaan besar dapat melepasinya dan saya rasa, saya bermain dengan cemerlang sepanjang minggu.”
Gelaran dimenanginya itu adalah gelaran Jelajah Dunia pertamanya dan sudah tentu memberi kelegaan besar dapat melakukannya pada kejohanan bertaraf Gangsa.
“Perlawanan akhir sentiasa berbeza… Sentiasa ada tekanan tambahan terutamanya banyak pihak yang mengutus mesej bercerita mengenai kemenangan saya semalam (separuh akhir), jadi saya tahu hari ini akan sukar terutama menentnag Dimi (Steinmann).
“Apapun saya gembira meraih gelaran minggu ini,” ujar Eain Yow kepada Jelajah PSA.
Kejuaraan itu sekali gus bakal melonjakkan Eain Yow enam anak tangga dalam ranking dunia.
Menurut ranking forecast PSA, Eain Yow melonjak ke kedudukan ke-16 dunia, satu pencapaian terbaik pernah dicapainya dalam karier skuasy dunia.