JAGUH berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang menerima rangsangan besar selepas memenangi acara pecut pada Perlumbaan Austral di Melbourne pada Sabtu.

Atlet berusia 34 tahun itu mengenepikan cabaran Sam Gallagher dari Kelab Berbasikal Blackburn dalam acara akhir pecut kelas pertama. The Pocket Rocketman mengatasi pelumba New Zealand, Sam Dakin pada separuh akhir.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu mencatat masa mengagumkan 9.766s pada pusingan kelayakan.

“Baru sahaja memenangi Acara Pecut Kelas 1 pertama saya pada musim ini. Tidak teruk untuk #orangtua yang tidak beraksi selama tujuh bulan daripada perlumbaan,” ciapnya menerusi Twitter.

Manakala dalam acara keirin, beliau mendapat tempat kedua dibelakang James Brister dari pasukan Port Adelaide Cycling Club.

“#orangtua gembira dengan pingat emas dan perak untuk Austral Wheelrace Melbourne Australia ke-125 (Sprint & Keirin),” tulisnya lagi.