TIADA kata-kata dapat meneritakan perasaan kami dan sebesar maka maknanya kemenangan ini terutamanya selepas apa yang Pearly Tan lalui bulan lalu.

Demikian ‘posting  dibuat Thinaah Muralitharan atau lebih dikenali sebagai M Thinaah, mengenai gelaran pertama Super 750 dimenanginya di Terbuka Perancis semalam.

Menurutnya, dia dan gandingannya tidak berputus asa dan meneruskan perjuangan  selain memberi sepenuh hati dalam setiap permainan.

“Just feel super happy about this win 🙏🏻 thank u,” kata Thinaah, ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Kejayaan terbesar buat Pearly Tan-M Thinaah setakat ini, melepasi satu persatu lawan hebat dari Indonesia, Korea dan Jepun.

Menurutnya, gelaran dimenangi mereka itu sekali gus melayakkan mereka ke saingan Jelajah Akhir Dunia.

Kejohanan yang mengumpul lapan pemain terbaik dalam setiap kategori mengikut ranking Jelajah BWF itu, akan berlangsung di Guangzhou, China, 14 hingga 18 Disember depan.

Mungkin kemenangan ini menjadi kejayaan palng bermakna buat Thinaah yang menyambut perayaan Deepavali di Paris.

Sementara itu, Pearly, segala-galanya bagai hanya mimpi apabila dia dan Thinaah menjadikan hal-hal mustahil menjadi sebaliknya.

“Bulan lalu, saya nak sangat berada dalam gelanggang tapi tidak mampu berdiri pun. Kini saya faham, ada masanya kita kalah dan kesabaran menunggu dan bersabar itu sangat berbaloi.

Episod duka gandingan Pearly Tan-M Thinaah apabila dia mengalami kecederaan lutut yang disangka ACL, di Terbuka Jepun, September lalu.

“Jangan sekali-kali putus harapan kerana pelangi pasti akan terbit selepas hujan,” kata Pearly, di Instagramnya.

Ketika dihubungi, Pearly berkata, kemenangan itu amat bermakna buat dia dan Thinaah.

“Tapi masih banyak ruang untuk kami perbaiki dalam setiap perlawanan. Kami harap dapat menerusikan momentum ini dan terus berlatih dengan gigih untuk terus maju ke hadapan,” katanya, menerusi kiriman WhatsApp.

Pada final Terbuka Perancis semalam, Pearly-Thinaah muncul juara selepas menewaskan gandingan Jepun, 21-19, 18-21, 21-15.