RASA cuak dan gementar, bantut hasrat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk melangkah ke final kedua musim ini, selepas terkandas di separuh akhir Terbuka Perancis, awal pagi Ahad.
Pemain ranking ke-15 dunia itu terpaksa akur tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou dari China, Li Shi Feng 17-21, 12-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Glaz.
Kemenangan menyaksikan Shi Feng yang juga pemain nombor lima dunia mengekalkan rekod tanpa kalahnya ke atas Tze Yong dalam semua lima pertemuan.
“Saya berasa gementar dan mahu mendapatkan mata dengan mudah… jadi, saya cuba melakukan pukulan sempurna.
“Saya tidak fikir banyak di set kedua dan cuba mengelak daripada melakukan banyak kesilapan mudah.
“Saya mungkin beraksi di Terbuka Hylo selepas ini, dan saya tidak mempunyai banyak masa. Saya perlu berehat dan berjuang lagi minggu depan,” kata Tze Yong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat aksi menentang Shi Feng.
Sejak beraksi dalam kejohanan peringkat tertinggi tahun ini, Tze Yong berjaya mara ke final Terbuka Artik di Vantaa, Finland dua minggu lalu.
Kekalahan Tze Yong itu, menyaksikan cabaran Malaysia di Terbuka Perancis berakhir selepas dia menjadi wakil tunggal negara yang layak beraksi di separuh akhir.
Selain Tze Yong, Shi Feng turut menyingkir pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia di pusingan kedua.
Tze Yong, hanya mempunyai tempoh rehat selama tiga hari sebelum beraksi di Terbuka Hylo di Jerman yang bermula Selasa ini.
Ia akan menjadi kejohanan keempat berturut-turut buat Tze Yong di Eropah dan kelima sejak Sukan Asia Hangzhou.
Ketika ini, Tze Yong dan Zii Jia sedang dalam misi bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagi acara perseorangan, setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan ke Paris, April tahun depan.