PENJAGA gol Turkiye, Ahmet Eyup Turkaslan disahkan meninggal dunia akibat gempa bumi melanda negara itu yang sehingga kini dianggarkan lebih 5,000 orang kehilangan nyawa di Turkiye dan Syria.

Perkhabaran sedih ini dimaklumkan menerusi kelabnya Yeni Malatyaspor yang menyifatkan penjaga gawang berkenaan adalah seorang yang baik.

“Penjaga gol kami, Ahmet Eyup Turkaslan kehilangan nyawanya selepas berada di bawah runtuhan gempa bumi. Rehatlah dengan tenang.

“Kami tidak akan melupakan anda, seorang yang sangat baik,” ujar kelab berkenaan di Twitter.

Turkaslan, 28, bermain enam kali untuk kelab divisyen dua Turkiye, Yeni Malatyaspor selepas menyertai pada 2021.

Beberapa rakan turut menghulurkan simpati antaranya bekas  pemain sayap Crystal Palace dan Everton Yannick Bolasie, yang kini bermain untuk pasukan divisyen dua Turki, Caykur Rizespor.