SELEPAS pulih daripada kanser dan tepat 453 hari sejak membuat penampilan terakhir bersama skuad Kebangsaan, Brendan Gan dipanggil semula ke skuad Harimau Malaya menjelang kejohanan Piala Raja Thai akan di Chiang Mai, Thailand minggu ini.

Untuk rekod, kapten kelab Selangor FC itu membuat penampilan terakhir bersama Harimau Malaya apabila menewaskan Thailand 1-0 pada Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 Jun 2021 lalu di Dubai, sebelum disahkan menghidap kanser testis.

Selepas 12 bulan bertarung dan menjalani pemulihan sebagai sebahagian daripada proses pemulihannya, Brendan Gan kembali mengetuai Red Giants pada 19 Jun 2022 semasa perlawanan Liga Super (LS6) menentang Sarawak United di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Kemunculan semula yang ditunggu menjadi lebih manis apabila dia sendiri menjaringkan gol pembukaan untuk memulakan malam gemilang buat Merah Kuning yang memenangi perlawanan itu dengan 7-0.

Seperti burung phoenix yang bangkit daripada abu, pemain berusia 34 tahun itu terus mendapat tempat dalam kesebelasan utama Selangor dan telah beraksi dalam 14 perlawanan berturut-turut sehingga kini,dia telah berjaya menjaringkan tiga gol dan mencatatkan satu umpanan dalam Super Liga dan Piala FA musim ini.

Persembahan cemerlang dan konsisten ini telah meyakinkan ketua jurulatih negara, Kim Pan-Gon untuk menyenaraikannya semula dalam skuad 25 pemain yang akan memulakan kejohanan menentang pasukan tuan rumah, Thailand pada 22 September ini.

Pemenang perlawanan ini akan dijadual menentang pemenang perlawanan antara Trinidad & Tobago dan Tajikistan pada 25 September 2022. Pasukan yang kalah akan bermain dalam perlawanan tempat ke-3 dan ke-4 pada hari yang sama.

Pemain yang membuat penampilan sulung pada 2016 itu berkongsi kegembiraannya dengan berkata, ia adalah satu penghormatan untuknya diberi peluang menyarung semula jersi pasukan kebangsaan selepas melalui pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi dalam tempoh masa yang singkat.

“Adalah satu penghormatan besar bagi saya untuk kembali ke pasukan kebangsaan selepas melalui pelbagai cabaran sebelum ini. Jadi, sangat mengujakan saya untuk kembali dan melakukan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan. Semoga kami akan bermain dengan baik di King’s Cup di Thailand,” katanya dalam laman rasmi kelab Selangor FC.

Berdasarkan ranking FIFA semasa, Malaysia kini berada di ranking ke-148, manakala Thailand di ranking ke-111, Trinidad & Tobago di ranking ke-101 dan Tajikistan di ranking ke-105 dunia. Mengikut sejarah penganjuran kejohanan Piala Raja sebelum ini, Malaysia telah memenangi piala ini sebanyak empat kali pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.

Turut mendapat panggilan pasukan senior kebangsaan ialah dua lagi rakan sepasukan dari Red Giants iaitu Sharul Nazeem dan Mukhairi Ajmal.