DEMI memberi sokongan kepada pasukan kesayangan, Kelab Penyokong Bolasepak dan Futsal Terengganu atau lebih dikenali sebagai Geng 12 sanggup berhabis ribuan ringgit untuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pengerusi Geng 12, Mohd. Juslihadi Mohd. berkata, pihaknya berhabis hampir RM3,000 untuk menyiapkan bendera negeri dan kain rentang bersaiz gergasi bagi memberi sokongan kepada Terengganu FC (TFC).
Menurutnya, ahli kelab penyokong itu bergotong-royong sejak Jumaat lalu bertujuan menyiapkan bendera dan kain rentang berkenaan yang bersaiz 15 x 15 meter.
“Ini adalah cara kami menaikkan semangat pemain serta mengiringi perjuangan TFC dari belakang untuk menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) selain memeriahkan suasana perlawanan akhir
“Ramai ahli kelab datang dari daerah lain untuk turut sama bergotong-royong menyiapkan bendera negeri dan kain rentang ini sebelum kami bertolak ke ibu negara, esok (hari ini).
“Selain melalui bendera dan kain rentang, Geng 12 juga akan hadir dengan 10 buah bas bersedia membawa kira-kira 500 ahli kelab,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Menurut Mohd. Juslihadi, idea menghasilkan bendera dan kain rentang gergasi itu ialah bagi menghargai ahli Geng 12 yang tidak pernah ketinggalan menyokong TFC termasuk di tempat lawan.
Lebih unik lagi katanya, pemilihan kata-kata semangat di kain rentang itu dibuat menerusi pertandingan secara dalaman yang disertai ahli kelab.
“Selepas tewas kepada lawan sama dalam final Piala FA tahun lalu, kami meletakkan harapan tinggi kali ini agar TFC membawa pulang trofi Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada 2001.
“Pesanan kami kepada pemain, beraksi bersungguh-sungguh sepanjang 90 minit dan saya ramal TFC boleh menang tipis 1-0 atau 2-1,” tambahnya.