JURULATIH asal Itali, Gennaro Gattuso setakat ini tidak tergoda untuk melatih di Arab Saudi walaupun Mohammed bin Salman menghubungi secara terus dalam talian telefon.
Liga Pro Saudi terus membuat penemuan besar untuk menjadikan persaingan mereka meriah. Selain membawa masuk pemain bertaraf dunia, mereka juga menyasarkan jurulatih yang bergiat aktif di Eropah.
Gattuso antara jurulatih yang dirayu untuk meneruskan tugasnya di Arab Saudi. Dalam laporan Calciomercato yang dipetik dari Football Italia, Gattuso menerima tawaran besar untuk datang ke Arab Saudi.
Gattuso dihubungi Mohammed bin Salman secara peribadi untuk memikirkan tawaran itu. Tetapi Gattuso tetap dengan pendiriannya setakat ini dalam menolak tawaran daripada Arab Saudi.
Sebagai pemain, Gattuso mempunyai perwatakan yang kuat yang menjadikan beliau dikenali sebagai antara pemain tengah bertahan terbaik pada tahun 2000-an. Semasa bekerja sebagai jurulatih, Gattuso berpengalaman menguruskan pasukan besar seperti Milan, Napoli dan Valencia.
Buat masa ini Gatuso tidak mempunyai kelab. Dia berpisah dengan Valencia awal tahun ini.
Selain Gattuso, dua jurulatih yang telah menolak tawaran dari Arab Saudi ialah Max Allegri dan Jose Mourinho.
Kedua-dua mereka masih memilih untuk meneruskan kerja mereka bersama Juventus dan AS Roma.
Sementara itu, Steven Gerrard turut menolak tawaran daripada Arab Saudi. Tetapi akhirnya Gerrard mengubah fikirannya dan bersetuju dengan tawaran itu. Gerrard secara rasmi menjadi jurulatih Al Ettifaq.