TIDAK dinafikan, geran padanan sukan yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM50 juta, jelas memberikan impak positif dalam pencapaian sukan di negara ini.

Menterinya, Hannah Yeoh yang ditemui semasa Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) menjelaskan bahawa RM1 juta daripada geran padanan sukan telah disalurkan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), sekali gus menghasilkan kemenangan dan aksi yang cemerlang.

Jadi, amat jelas sekali bahawa peruntukan kewangan RM1 juta itu membantu meningkatkan mutu kualiti sukan sepak takraw negara dalam menundukkan kekuatan Thailand dalam acara regu dan double dalam Piala Dunia yang berlangsung baru-baru ini.

“Geran Padanan Sukan sebanyak RM50juta untuk tahun 2024 telah banyak membantu persatuan sukan kebangsaan (PSK). Contohnya, RM1juta disalurkan kepada Persatuan Sepak Takraw untuk tujuan kejohanan dan persediaan. Hasilnya, Malaysia muncul juara.

Hannah Yeoh ketika berucap di Majlis Anugerah Sukan Negara 2023.

“Pembangunan sukan atlet para pula menerima sebanyak RM12 juta pada tahu ini berbanding RM10 juta pada tahun 2023.

“Selain itu, peruntukan Program Podium dan Road to Gold juga meningkat daripada RM55 juta pada tahun 2023 kepada RM72 juta pada tahun 2024,”ujar Hannah pada Anugerah Sukan Negara 2023 yang berlangsung di Majlis Sukan Negara pada Khamis.

Majlis ASN telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.