KETUA jurulatih Pahang Rangers FC, Gerard Casas Ullastre akan meninggalkan pasukan futsal dari pantai timur itu pada akhir musim ini.
Perkara itu telah disahkan oleh Gerard menerusi hantaran di laman media sosial Pahang Rangers itu.
“Kepada penyokong setia PRFC dan keluarga futsal Pahang saya, saya ingin mengumumkan bahawa selepas empat tahun setengah di Malaysia, saya telah membuat keputusan untuk meninggalkan Pahang Rangers apabila MPFL tamat musim ini dan meneruskan karier saya di Sepanyol.
“Ini adalah keputusan peribadi yang saya percaya adalah yang terbaik untuk kerjaya saya dan sudah tiba masanya untuk saya kembali ke negara asal saya.
“Jangan risau, kerana kelab dan saya sedang bekerjasama untuk memastikan PRFC ditinggalkan di tangan yang terbaik dan bergerak ke arah yang betul.
“Masih ada masa untuk mengucapkan selamat tinggal dan penjelasan tentang meninggalkan Pahang, yang saya anggap dan akan sentiasa menjadi rumah saya, tetapi liga masih belum tamat. Kita masih mempunyai tujuh lagi perlawanan untuk berjuang bersama untuk para penyokong dan kelab yang hebat ini,” tulisnya dalam hantaran itu.
Sepanjang 4 tahun bersama kelab futsal itu, Gerard berjaya membawa pasukan muncul juara dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) serta muncul juara untuk Piala Futsal Malaysia musim lalu.
Pahang Rangers kini berada di kedudukan yang ke-2 dalam carta liga dengan mengutip 16 mata, lima mata di belakang pendahulu carta liga Johor Darul Ta’zim FC.