FINALIS Liga Juara-Juara, Borussia Dortmund adalah kelab bola sepak terbaharu yang menunjukkan sokongan mereka kepada pemain Harimau Malaya Faisal Halim yang semakin pulih daripada serangan asid.

Gergasi Bundesliga itu dalam catatan Facebook rasmi berkata mereka mengutuk keganasan dalam bola sepak.

“Faisal Halim adalah pemain sayap yang bermain untuk Selangor FC dan pasukan kebangsaan Malaysia. Dia menjaringkan gol kejohanan itu dalam Piala Asia baru-baru ini menentang Korea Selatan. 13 gol dan sembilan assist dalam liga musim lalu melonjakkan Selangor ke tempat kedua dan satu tempat dalam pertandingan Asia 2024/25.

“Faisal diserang dan ditinggalkan dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi. Dengan ini, kami mahu memberi penerangan tentang keganasan dalam bola sepak. Hentikan keganasan. Kami berdiri bersama Faisal Halim,” menurut kenyataan Borussia Dortmund pada Selasa.

Imbas kembali.. Detik jaringan gol sensasi oleh Faisal Halim ketika menentang Korea Selatan di Piala Asia Qatar.

Tidak terkecuali rakyat Malaysia yang singgah ‘berjemaah ‘meninggalkan hantaran positif dalam buat pemain itu yang dikenali sebagai Mickey.

From Selangor FC, Malaysia with love. Thank You Borussia Dortmund,” tulis seorang netizen.

Manakala Facebook Selangor FC menulis : On behalf of Faisal Halim, Danke schön Borussia Dortmund disertakan tanda pagar #StandWithFaisalHalim #StopTheViolence #TiadaRuangUntukKeganasan.

Kelab Jerman itu merupakan kelab Eropah kedua bersuara menyokong Faisal.

Pada 11 Mei lepas, pemain Manchester United Andre Onana dan Alejandro Garnacho mempamerkan solidariti, menyampaikan hasrat ikhlas mereka kepada rakan-rakan bola sepak di Malaysia dalam video berdurasi 30 saat.

Faisal disimbah asid oleh dua penyerang tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Damansara, 5 Mei lalu. Bintang Selangor itu melecur tahap empat di beberapa bahagian badan termasuk muka.