SELANGOR FC berjaya bangkit dari kekecewaan tersingkir dari saingan Piala FA dengan kembali mencipta kemenangan keatas Kuching City FC dalam saingan Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Dua tonggak antarabangsa Gergasi Merah, Ayron Del Valle dan Yohandry Orozco masing-masing meledak satu jaringan untuk memberikan kemenangan 2-1 sekaligus tiga mata penuh untuk perlawanan ke-15 liga itu.
Meskipun turun tanpa dua tonggak pertahanan yang mengalami kecederaan, Selangor dilihat tidak kekok beraksi dan cuba melakukan serangan sejak dari awal perlawanan dengan Kuching City FC kental bertahan.
LIGA SUPER 2023
FT: Selangor FC 2-1 Kuching City FC
⚽ Ayron Del Valle 26', Yohandry Orozco 55'
⚽ Amir Amri Salleh 89'#LigaSuper2023#MKLK#KuchingCity pic.twitter.com/uQ8h1ir5As— Flash Sukan (@FlashSukan) July 3, 2023
Anak-anak buah Tan Cheng Hoe menerima nafas baharu apabila dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-26 yang mudah disempurnakan Ayron untuk gol ke-14 nya musim ini dan kedudukan 1-0 ini kekal hingga tamat babak pertama.
Babak kedua pula menyaksikan Tan Cheng Hoe melakukan beberapa pertukaran dengan mengeluarkan Ayron dan memasukkan Yohandry Orozco yang nyata menjadi satu pertukaran yang baik apabila Orozco mudah menjaringkan gol kedua Selangor pada minit ke-55.
Kuching City juga mempunyai beberapa peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan namun ketangkasan Sam Somerville berjaya memastikan gawang Selangor tidak dibolosi dan menggembirakan 5,212 penyokong yang hadir ke stadium.
Ketika perlawanan hampir ditamatkan, Amir Amri Salleh berjaya merapatkan kedudukan apabila rembatan jarak jauhnya berjaya menerjah jaring namun sudah terlambat untuk Kuching City bangkit mengikat perlawanan.
Keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan yang menyaksikan Selangor kekal di tangga kedua liga dengan 34 mata, ketinggalan 11 mata dari Johor Darul Ta’zim manakala Kuching City juga kekal di tangga ke-12 dengan enam mata.