SELANGOR FC bangkit daripada kekalahan dengan menjadikan Penang FC sebagai mangsa apabila mengganas dengan kemenangan 3-0 pada aksi yang menyaksikan dua pemain import baharu beraksi cemerlang di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe terus meletakkan Safuwan Baharudin dalam kesebelasan utama selepas dia dibawa masuk dari Negeri Sembilan untuk membentuk bek berempat bersama-sama Quentin Cheng, Sharul Nazeem dan Khuzaimi Piee manakala Richard Boakye dibawa masuk pada babak kedua.
Penang FC pula turun tanpa dua tonggak penyerang import mereka, Soony Saad dan Giovanni Gomez yang mengalami kecederaan yang sedikit menjejaskan persiapan anak-anak buah Manzoor Azwira.
LIGA SUPER 2023
FT: Selangor FC 3-0 Penang FC
⚽ Noor Al-Rawabdeh 29', Richmond Boakye 59', Faisal Halim 78'
More photos at: https://t.co/sox5qlQsaJ#LigaSuper2023#MKLK#HariaPenangHaria
📸 Izari Rosli I Flash Sukan pic.twitter.com/OQeaED0VyK
— Flash Sukan (@FlashSukan) July 15, 2023
Perlawanan berlangsung dengan rancak apabila kedua-dua pasukan sering berbalas serangan sebelum Selangor berjaya di depan menerusi Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-29 menerusi satu serangan balas yang dicipta Ayron Del Valle.
Gol itu mencetuskan sedikit ketegangan di kem Penang FC apabila sebelum itu Hadin Azman mengatakan dia dikasari Safuwan dalam petak penalti namun pengadil meneruskan permainan yang menyumbang kepada gol kepada Gergasi Merah.
Ketegangan itu tidak berakhir di situ apabila ianya berlarutan sehingga ke terowong pemain dengan pemain Penang masih mempersoalkan keputusan pengadil namun tidak ada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Selangor melakukan pertukaran sejurus babak kedua bermula dengan memasukkan Richmond Boakye menggantikan Alex Agyarkwa untuk memantapkan lagi jentera serangan dan terus memberikan impak.
Boakye hanya memerlukan kurang 15 minit untuk membuka akaun jaringannya bersama Selangor apabila bijak menyempurnakan hantaran Yohandry Orozco yang bergandingan baik dengan Ayron Del Valle untuk gol kedua Selangor.
Selangor seharusnya menamatkan cabaran Penang lebih awal tetapi Ayron gagal menambah kelebihan apabila percubaannya tersasar dan terkena tiang yang menggagalkannya menambah jumlah jaringan keseluruhan dalam liga.
Faisal Halim menggembirakan 6,245 penyokong yang hadir dengan gol ketiga 12 minit sebelum tamat apabila dia bijak mengambil kesempatan kesilapan pertahanan Penang sekaligus mematikan harapan Harimau Kumbang untuk bangkit.
Keputusan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Selangor kekal ditangga kedua liga dengan 37 mata meninggalkan Kedah dan Sri Pahang di tangga ketiga dan keempat dengan kelebihan tiga mata.