SELANGOR FC menampilkan aksi mantap apabila mencatatkan kemenangan kelima berturut-turut dalam semua pertandingan kali ini dengan mengenepikan cabaran Terengganu FC 5-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Turun dengan beberapa perubahan pada kesebelasan utama, anak-anak buah Tan Cheng Hoe berjaya mendahului 3-0 pada babak pertama meskipun pada awalnya permainan dikuasai oleh pasukan pelawat.

Ayron Del Valle membuktikan dirinya semakin serasi dengan rakan-rakan sepasukannya apabila menyumbat satu gol pada setiap babak untuk mengembalikan kepercayaan penyokong terhadapnya selain cemerlang mengumpan dan mencipta peluang.

 

Faisal Halim sekali lagi mencatat nama dalam senarai penjaring untuk gol ketiganya dalam Liga Super musim ini sebelum Harith Haiqal menjaringkan gol debutnya bersama skuad senior untuk Selangor selesa pada babak pertama.

Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner melakukan beberapa pertukaran taktikal pada babak kedua dengan memasukkan Ivan Mamut dan Syafik Ismail untuk menambah sengat barisan serangan dan akhirnya Ivan Mamut berjaya merapatkan jurang dengan gol pertama Terengganu.

Ketika Terengganu ghairah mencari gol kedua, kealpaan barisan pertahanan menyaksikan mereka dihukum Ayron untuk gol keempat Gergasi Merah sebelum Aliff Haiqal menamatkan sisa perjuangan Terengganu dengan gol kelima, enam minit sebelum tamat.

Kemenangan ini mengukuhkan kedudukan Selangor di tangga kedua liga mengejar rapat Johor Darul Ta’zim selepas sembilan perlawanan manakala Terengganu kekal di tangga keenam dengan 13 mata menjelang cuti rehat Aidilfitri.