GHANA menamakan barisan 27 pemain terkuat bagi menghadapi pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika dan tidak teragak-agak menggugurkan dua bintang Liga Perdana Inggeris yang mengelami kecederaan iaitu, Thomas Partey dan Tariq Lamptey.
Juara empat kali trofi itu, serius mahu membawa pulang kejuaraan yang kali terakhir mereka menangi pada 1982.
Pengumuman penyingkiran dua pemain Liga Perdana Inggeris itu dibuat jurulatih Ghana, Chris Hughton selepas berasakan Partey memerlukan tempoh panjang untuk pulih dari kecederaan hamstring.
“Jika tidak mengalami kecederaan, sudah tentu dia berada dalam skuad kerana kami tahu kualiti yang ada padanya.
“Kecederaan dialaminya agak teruk,” kata Hughton pada sidang media, semalam.
Menurutnya, beliau menghabiskan banyak masa bersama Thomas dan berhubung dengan staf perubatan Arsenal, namun pemain itu berdepan masalah kecederaan terbesar dalam kerjayanya.
“Paling utama buat saya sebagai ketua jurulatih, persatuan kami memberi sokongan yang diperlukannya (Lamptey) untuk menghadapi tempoh sukar.”
Tariq Lamptey pula mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Brighton bulan lalu, yang menyaksikan pengurus kelabnya, Robertop de Zerbi terpaksa mengetepikan pemain itu untuk tempoh yang panjang.
Dalam pada itu, Ghana menyenaraikan Andrew Ayew dalam skuad kebangsaan itu sekali gus pemain terbabit bakal memahat nama sebagai pemain yang beraksi pada lapan kempen Piala Negara-Negara Afrika sejak 2008.
Ghana yang muncul juara kejohanan pada 1963, 1965, 1978 dan 1982, berada dalam kumpulan B, akan membuka saingan menentang Cape Verde Islands pada 14 Januari sebelum menentang Mesir dan Mozambique.
Piala Negara-Negara Afrika 2023, dijadual berlangsung dari 13 Januari hingga 14 Februari 2024 di Ivory Coast. -Agensi