PEMAIN import Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuco melengkapkan 50 penampilan ketika aksi bertemu PJ City pada Sabtu dan dia berbangga dengan pencapaiannya sepanjang dua musim bersama kelab itu.

Menerusi hantaran di laman sosial rasminya, Giancarlo yang mesra disapa GG itu menganggap 50 perlawanan ini sebagai impian dan berterima kasih kepada semua rakan sepasukan dan para penyokong kelab yang kini dirasakan seperti rumahnya sendiri.

“Penampilan dalam 50 perlawanan ini adalah seperti mimpi yang menjadi kenyataan dan saya berterima kasih kepada teman sepasukan yang hebat yang telah menerima saya umpama keluarga.

“Juga saya berterima kasih kepada pengurusan yang mempercayai saya dan yang paling utama kepada semua penyokong dan kota ini yang telah menerima saya dengan hati yang terbuka. Terima kasih banyak dan sampai mati Kuala Lumpur,” tulis kenyataan itu.

Dari 50 perlawanan itu, GG berjaya membantu KL City menamatkan saingan liga di enam tempat teratas dua musim berturut-turut, rekod tanpa kalah di laman sendiri pada musim 2021, 24 ‘clean sheet‘ dan menjaringkan tiga gol.

Namun kejayaan terbesarnya bersama skuad warga kota adalah muncul juara Piala Malaysia 2021 dan kini adalah finalis Piala AFC 2022 yang akan beraksi di final pada 22 Oktober nanti di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bekas pemain remaja Tottenham Hotspur dan skuad B23 Australia itu menyertai KL City pada 2021 dari Melbourne Victory dan kini menjadi salah satu tonggak penting skuad Bojan Hodak dan juga sudah menjadi pemain yang disayangi penyokong bola sepak Kuala Lumpur City.