KEDAH Darul Aman (KDA) FC tewas dua kali berturut-turut di halaman sendiri termasuk disingkirkan Penang FC 4-3 penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 masa sebenar dalam aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Status kehangatan Northern Derby telah dijangka dengan sedikit kekasaran berlaku seawal minit-minit awal permainan hingga memaksa Willian Lira dan Rafael Vitor dilayangkan kad kuning

Kedah membuka akaun jaringan menerusi ledakan kapten pasukan, Manuel Ott m-8 yang mendada bola hantaran Ariff Farhan yang sebelum itu cuba dikeluarkan pemain pertahanan, Rafael.

Peluang keemasan KDA FC menggandakan jaringan tetapi sayang larian daripada Willian Lira-12 segera dihadang penjaga gawang, Shafiq Afifi Suhaimi.

Penyokong Sang Kenari terdiam seketika apabila serangan balas Penang berjaya menyamakan kedudukan menerusi Giovane Gomes Da Silva pada m-21. Tersentak jaringan itu, tuan rumah mula mengatur serangan demi serangan termasuk Manuel Hidalgo namun semuanya gagal menerjah jaring lawan.

 

Hajat Penang untuk sekurang-kurangnya membawa bekalan selesa sebelum menuju babak kedua tidak berjaya selepas sepakan percuma Hassan Saad masa akhir permainan pertama sekadar melintasi palang gol.

Beraksi di hadapan 13,768 penonton, Kedah terus mengasak bertubi-tubi ke kubu Penang apabila dua kesempatan terbaik daripada Willian Lira pada m-49 dan m-52 tetapi berakhir kegagalan.

Pemain gantian Penang, Asnan Ahmad nyaris mencetak gol namun sepakannya melambung tinggi m-63. Usaha gigih anak buah Yee Fatt Chong akhirnya memerangkap Kalamullah Al-Hafiz empat minit selepas itu menerusi tiga sentuhan bermula hantaran Ousmane Fane, ditanduk Asnan dan disudahkan oleh Hassan.

Kedah tidak bernasib baik kerana jaringan penyamaan daripada Hidalgo m-82 dikesan offsaid pembantu pengadil namun jaringan Manuel Ott pada minit ke-90 mengheret perlawanan ini ke masa tambahan.

 

Kenari mencipta banyak percubaan menarik khususnya Hidalgo (104′) yang ditepis Shafiq manakala tandukan Jonathan Boareto terkena palang (105′).

Penentuan penalti milik Penang menerusi kemenangan 4-3 dan mara ke pusingan 16.