FOTO : MFL

SEPERTI dijangka, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Perak FC 5-0 di Ipoh pada Selasa.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan terus gah dipersada menerajui liga dengan kutipan 21 mata selepas tujuh perlawanan.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi memburu gol pembukaan, namun JDT terlebih dahulu mendapat jaringan hasil gol sendiri tuan rumah, Hasnul Zaim seawal minit kelima.

JDT menggandakan lagi kedudukan kali ini menerusi sepakan penalti yang disudahkan Leandro Velazquez m-25 walaupun penjaga gawang Perak, Bryan See dapat menampan bola namun tetap menerjah jaringan.

Keghairahan Perak mencari gol pertama dihukum gerakan hantaran satu dua Arif Aiman Hanapi dan Fernando Forestieri yang kemudian melorongkan bola kawasan petak penalti untuk Diogo Santo tenang menolak masuk bola menggunakan kaki kiri pada penghujung masa pertama.

Menariknya, Diogo kini telah mencatat tiga gol dalam tiga penampilan terakhir di tempat lawan.

Bersambung separuh masa kedua, JDT terus bernafsu merobek kubu Perak dengan kemasukan Bergson Da Silva serta Akhyar Rashid dan Syahmi Safari bagi menambah sengat di barisan hadapan.

Hasilnya, Bergson membuatkan Stadium Perak tergamam apabila menyumbat gol keempat Harimau Selatan menerusi tolakan mudah pada minit ke-65 hasil hantaran Arif Aiman.

Bergson dimasukkan pada babak kedua dan tidak ketinggalan menyumbang gol buat Harimau Selatan.

Aksi longlai pasukan The Bos Gaurus dan kegagalan menampilkan permainan kemas sekadar menyaksikan percubaan liar dilakukan termasuk beberapa pemain mereka serta Datuk Lim Teong Kim dilayangkan kad kuning.

Leandro menamatkan malam ngeri buat penyokong Seladang selepas menyempurnakan sepakan percuma cantik pada masa kecederaan untuk kemenangan besar lima gol tanpa balas.

JDT akan melayan kunjungan Kedah Darul Aman di laman sendiri pada 9 April, manakala Perak bakal berkunjung ke Cheras berdepan Kuala Lumpur City pada keesokan harinya.