PDRM FC sekali lagi membuat kejutan dengan menewaskan pasukan ‘besar’ Sabah FC  pada aksi Liga Super 2023 di Stadium MBPJ pada Khamis.

Hanya selepas lima hari menewaskan Selangor FC Sabtu lalu, The Cops dilihat sudah selesa dengan taktik ‘gol tunggal’ untuk aksi bertemu Sabah FC malam ini.

The Cops berjaya menewaskan Sabah FC dengan gol tunggal yang dilakukan oleh Nabil Latpi pada minit ke-26.

Usaha Sabah FC untuk mengejar gol tidak berjaya sehingga habis separuh masa pertama dan The Cops mengekalkan kedudukannya 1-0.

Masuk separuh masa kedua, permainan kelihatan tenang namun menjelang minit ke-64, Sabah FC bangkit melakukan beberapa cubaan dan hampir menembusi gawang The Cops namun tidak berjaya.

Bagaimanapun, sepakan percuma yang diberikan kepada Sabah FC pada minit ke-89 gagal menembusi gawang The Cops.

Walaupun Sabah FC melakukan cubaan gol berkali-kali namun tiada sebarang gol yang berjaya dihasilkan berikutan The Cops memilih untuk menguatkan posisi pertahanan mereka.

Keputusan kekal 1-0 sehingga wisel akhir perlawanan.