DUA wakil negara dalam beregu campuran, lolos ke suku akhir Terbuka Korea diketuai pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Soon Huat-Shevon yang diletakkan sebagai pilihan kelima tidak berdepan masalah untuk mengalahkan Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun dari Taiwan selepas mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-17 di Stadium Tertutup Mokpo.
Lebih menarik sekurang-kurangnya akan ada satu wakil negara bakal beraksi di separuh akhir Sabtu ini, selepas Soon Huat-Shevon bakal berdepan rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di suku akhir esok.
Menurut Soon Huat, mereka berjaya mengawal permainan dengan baik pada kedua-dua permainan dan memberikan aksi yang bagus.
“Paling penting kami mengurangkan kesilapan dan bermain secara konsisten,” katanya selepas perlawanan sebentar tadi.
Sementara itu, Shevon pula mengakui puas dengan prestasi mereka setakat ini ditambah berjaya mengawal emosi dan mengikut pelan permainan tatkala beraksi tanpa jurulatih di gelanggang.
“Kami mengawal permainan dengan baik sejak dari mula hingga berakhir. Paling penting adalah untuk menetapkan kekuatan mental sebelum perlawanan. Saya perlu mempersiapkan diri bagaimana fikiran saya perlu ditetapkan apabila masuk ke dalam gelanggang.
“Kalau semuanya tidak berjalan seperti dirancang kami harus mengetahui bagaimana untuk kekal tenang dan paling penting sebelum perlawanan perlu ada perancangan untuk mengawal segala pemikiran serta hala tuju,” kata Shevon.
Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan keempat mara selepas mencatat kemenangan straight set ke atas satu lagi pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh 21-16, 21-19 dalam aksi selama 34 minit.
Sementara itu, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang juga pilihan keenam terkandas selepas tumpas di tangan Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dari Taiwan 21-14, 16-21, 14-21.
Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien juga tumpas di tangan pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan 18-21, 17-21.
Dalam saingan beregu lelaki Boon Xin Yuan-Goh V Shem ternyata sukar menandingi pilihan utama, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae apabila mereka tumpas 13-21, 11-21.