BEREGU campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai melangkah ke suku akhir pertama tahun ini apabila berjaya mengatasi lawan dari China, Cheng Xing-Zhang Chi di pusingan kedua Terbuka India.
Beraksi di Dewan Tertutup K D Jadhav, beregu diranking ke-14 dunia itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras di set pertama sebelum melakar kemenangan 26-24 ke atas pasangan ke-334 dunia itu.
Soon Huat-Shevon seterusnya mempamerkan aksi yang lebih konsisten di set kedua sebelum mengatasi Xing-Chi 21-10 untuk memastikan tempat di suku akhir, bertemu pilihan kelima kejohanan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang menewaskan beregu Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo 21-14, 21-13.
“Saingan suku akhir nanti pastinya sukar… tetapi kami sudah berada di peringkat ini, jadi kami perlu terus berusaha sebaik yang mungkin,” kata Shevon.
“Beregu China sentiasa mempunyai standard tertentu dalam kemampuan individu. Jadi kali ini, lawan bukannya mudah,” kata Shevon.
Tahun lalu, Soon Huat-Shevon ke final Terbuka Switzerland, dua separuh akhir di Terbuka Hong Kong dan Masterws Korea serta suku akhir Masters Indonesia.