MENJELANG saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, bulan hadapan, beregu lelaki negara, Goh Sze Fei enggan melihat undian getir seawal pusingan pertama sebagai satu ancaman.

Sze Fei yang bergandingan dengan Nur Izzuddin Rumsani, kini berada di ranking ke-19 dunia diundi menentang juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae yang juga pilihan kedua, pada kejohanan yang akan bermula 9 hingga 14 April itu.

“Mengenai undian, kami tidak fikir banyak, akan mencuba yang terbaik dan berbincang dengan jurulatih mengenainya.

Juara Dunia 2023, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea menjadi lawan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024, April depan.

“Memandangkan kejohanan ini berstatus Super 1,000 memang semua lawan adalah sukar, memang tiada yang senang,” kata Sze Fei.

Telahan Sze Fei itu benar berikutan gandingan tiga teratas dunia adalah dari Asia malah Top 20 dunia juga hanya menyaksikan tiga pemain Eropah dan selebihnya pemain dari benua ini, menjadikan kejohanan BAC kali ini amat mencabar.

Sudah tiba masanya untuk Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjelmakan kejutan pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024.

Ketika ini, pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty berada di ranking pertama dunia, diikuti Min Hyuk-Seung Jae (Korea) kedua dan Liang Wei Keng-Wang Chang dari China ketiga.

“Sudah tentu kami ada sasaran namun berkaitan undian ini, kami jadikan sebagai satu motivasi.

“Dari segi tekanan memang ada tetapi kami mahu cuba menguruskannya dengan baik.”