BEREGU lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Jepun selepas menewaskan pasangan nombor enam dunia dari Indonesia Fajar Alfian-Rian Ardianto 21-16, 10-21, 21-16 di Arena Yokohama pada Jumaat.

Kemenangan itu penting buat beregu nombor 12 dunia itu, memandangkan rekod buruk mereka menentang bekas pemain nombor satu dunia itu, setelah tewas lapan daripada sembilan pertemuan mereka sebelum ini.

Mereka akan bertemu sama ada pasangan tuan rumah Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura atau Indonesia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana, yang beraksi dalam satu lagi perlawanan suku akhir hari ini.

Keputusan itu menandakan kejayaan buat Sze Fei-Izzuddin, yang akhirnya melepasi peringkat suku akhir Jelajah Dunia dalam percubaan keempat mereka.

Mereka bermain di suku akhir dalam tiga kejohanan terakhir mereka – Masters Malaysia, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.

Ini merupakan kali ketiga mereka mara ke separuh akhir dalam acara Super 750 atau lebih tinggi, selepas Super 1000 Terbuka Denmark pada 2021 dan Super 750 Terbuka Malaysia pada 2022.

Gelaran terbesar mereka setakat ini ialah Terbuka Jerman pada 2022 dan Terbuka AS tahun lepas, kedua-duanya di tahap Super 300.