HASRAT Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus menjadi giant killer di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 terhenti di final, apabila terpaksa berpuas hati sebagai naib juara beregu lelaki, selepas tunduk kepada pasangan nombor tiga dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang di Ningbo, dari China.
Selepas menyingkir juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di pusingan pertama dan menewaskan beregu kelima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik straight set di separuh akhir semalam, perasaan peminat badminton tanah air tentunya berbunga-bunga mengharapkan gelaran pada final kejohanan bertaraf Super 1,000 pertama mereka.
Namun kekalahan 17-21, 21-15, 10-21 sudah cukup menceritakan betapa mereka sudah memberikan persembahan terbaik dalam aksi final.
Berdasarkan rekod, kali terakhir Malaysia menjuarai gelaran beregu lelaki di BAC, menerusi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada 2007.
Pada dua edisi lalu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekadar naib juara (2022), manakala pada tahun lalu (2023), Ong Yew Sing-Teo Ee Yi turut dikecewakan di final.
Kekalahan itu bermakna Sze Fei-Nur Izzuddin masih memburu gelaran pertama tahun ini, selepas mereka memenangi tiga kejuaraan tahun lalu iaitu di Terbuka Yonex Amerika Syarikat (2023), Victor Kaohsiung Masters di Taiwan (2023) dan Abu Dhabi Master, Emiriah Arab Bersatu (2023).