BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani belum mencapai tahap terbaik mereka seperti sebelum ini.
Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berkata, pasangan terbabit bagaimanapun masih mampu mencapai tahap lebih baik pada kejohanan-kejohanan akan datang.
Jelasnya, prestasi Sze Fei-Izzuddin di awal tahun ini agak mengecewakan apabila mereka kandas awal di Terbuka Malaysia, Terbuka India serta terbaru di Masters Indonesia.
“Nak kata prestasi mereka sudah di tahap maksimum, hanya mereka berdua sahaja yang dapat merasainya.
“Bagi saya, selepas mereka digandingkan sebelum berpisah dan digandingkan semula, mereka pasti mempunyai sasaran tertentu. Jadi saya tidak mahu mengatakan prestasi mereka sudah tak boleh (pergi) lagi.
“Saya rasa mereka masih ada peluang untuk meningkatkan prestasi permainan mereka. Tapi segala-galanya terpulang kepada mereka sendiri,” katanya.
Meskipun melalui prestasi yang tidak menentu, Sze Fei-Izzuddin tetap diberi kepercayaan membarisi skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang akan berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.
Selain mereka, turut membarisi beregu negara adalah bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.
Manakala pemain perseorangan diketuai oleh Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Owe.