PEMAIN import Negeri Sembilan FC (NSFC), Hein Htet Aung nyata gembira dengan jaringan yang berjaya dihasilkan ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan dia berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukannya serta barisan kejurulatihan atas kepercayaan yang diberikan.

Hein atau mesra disapa Husin mengakui gol itu memberikannya keyakinan tambahan terutama selepas bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik sejak dipinjamkan ke NSFC dari Selangor FC musim lalu.

“Ya gol ini sangat bermakna kerana selepas bergelut sepanjang musim lalu, akhirnya saya berjaya menjaringkan gol yang pastinya akan berikan semangat dan motivasi tambahan untuk membantu Negeri Sembilan musim ini.

‘Husin’ nyata gembira dengan gol yang dijaringkan 

“Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan yang banyak membantu saya dalam perlawanan ini walaupun kami tewas tetapi kami bangga dengan persembahan kami,” katanya.

Pemain kebangsaan Myanmar itu juga turut berkongsi detik-detik dia membolosi gawang JDT dan menjadi pemain pertama melepasi kawalan Syihan Hazmi seawal perlawanan pertama liga.

“Pada awalnya saya sangka tidak mendapat bola itu tetapi Takumi berjaya melorongkannya di depan saya untuk saya tolak bola ke dalam gawang yang terbuka. Ianya luar biasa,” jelasnya.

Hein muncul pemain pertama membolosi gawang JDT musim ini

Hein juga gembira dengan persefahaman bersama Takumi Sasuki dalam membentuk gandingan tengah yang ampuh sepanjang musim ini untuk membantu barisan serangan.