TANPA diduga, Vietnam nyaris mengejutkan gergasi Asia, Jepun pada perlawanan Kumpulan D Piala Asia 2023 di Qatar baru-baru ini.

Walaupun kalah 4-2, prestasi luar biasa Vietnam menjadi bualan di bibir peminat selepas menurunkan skuad muda ekoran sembilan pemain utama yang dibelenggu kecederaan.

“Sebelum ke Qatar ada sedikit kesukaran kerana beberapa pemain senior mengalami kecederaan tetapi ketua jurulatih amat yakin untuk membawa pemain remaja untuk menggantikan pemain senior yang cedera.

“Jaringan gol pertama oleh pemain muda satu petanda sangat bagus untuk bola sepak Vietnam.

“Saya rasa semua orang suka dengan pemain pasukan kami. Saya fikir itu adalah inspirasi yang sangat besar untuk pemain, percaya pada diri mereka sendiri dan memastikan mereka akan mencuba yang terbaik dalam perlawanan seterusnya,” kata Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Tran Anh Tu ketika ditemui FLASH SUKAN di Doha, Qatar.

Golden Star Warriors, yang kini dikendalikan oleh bekas ketua jurulatih Jepun, Philippe Troussier memberi kepercayaan kepada pemain muda untuk menyinar dalam kempen kali ini.

Nguyen Dinh Bac yang meledak ke gawang Jepun muncul pemain termuda dalam skuad Vietnam, berusia 19 tahun.

Mengulas lanjut, Tran Anh Tu melihat dimensi bola sepak Asia Tenggara menunjukan trend positif apabila Thailand, Malaysia, Vietnam dan Indonesia bakal beraksi dalam saingan Piala Asia B-23 2024 pada April nanti.

“Pusingan akhir ke-23 Asia di Qatar, kami mempunyai empat pasukan dari rantau ASEAN dan saya perlu mengatakan bahawa ia adalah kumpulan yang sangat besar di rantau ini.

“Malaysia adalah pasukan yang sangat kuat dan apabila kami berada dalam kumpulan yang sama dengan Malaysia, kami fikir ia sangat sukar dan mencabar bagi Vietnam untuk berdepan Malaysia.

“Kami juga menilai pasukan kebangsaan Malaysia dan pasukan B-23 tahun anda, saya rasa anda akan menjadi lawan yang sangat sukar untuk menentang pasukan B-23 tahun Vietnam.

“Saya rasa kedua-dua pasukan cuba yang terbaik dalam perlawanan ini untuk membawa persembahan yang sangat baik kepada peminat,” katanya.