PENOLONG Jurulatih PDRM FC, Edi Gapil mengakui gol pertama lawan yang dilepaskan secara mudah menjadi punca utama barisan pemainnya hilang arah dan tewas dengan margin yang besar.

Skuad Sang Saka Biru menerima kekalahan terbesar musim ini dalam Liga Malaysia apabila tewas 1-4 kepada Selangor FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Khamis.

Meskipun mendahului 1-0 hingga tamat babak pertama, kesilapan penjaga gol, Ramadhan Hamid menyaksikan Selangor berjaya menyamakan kedudukan sebelum tiga lagi gol dapat dijaringkan dalam babak kedua.

“Kami cuba untuk pertahankan keputusan 1-0 tetapi pada babak kedua saya akui berpunca dari gol pertama, kesilapan mudah menyebabkan moral pemain terganggu dan kemudian kami dihukum dengan gol kedua, ketiga dan keempat.

“Apa yang berlaku malam ini adalah kita nampak pertukaran taktikal daripada pasukan Selangor dan kesilapan daripada pemain kita yang gagal mengawal bahagian tengah dan apabila melepaskan gol sebegitu, moral pemain sedikit terjejas,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Namun begitu, Edi masih optimis pasukannya mampu melakar kejutan pada aksi timbal balik kerana dia percaya dalam bola sepak apa-apa sahaja boleh berlaku dan mahu pemain terus memberikan persembahan yang baik.

“Dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku jadi kami masih punya masa untuk bersedia serta kami juga sudah mengenali kelemahan dan akan bagi semaksimumnya dalam perlawanan kedua nanti,” tambahnya.

Dua jaringan daripada Ayron Del Valle serta masing-masing satu dari Harith Haiqal dan Yohandry Orozco sudah cukup untuk memastikan tugasan berat menanti PDRM FC ketika perlawanan kedua nanti yang dijadualkan pada 19 Ogos 2023.