HAJAT pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) meneruskan rentak terbaik bagi merealisasikan kemenangan ketiga berturut-turut gagal apabila seri 3-3 di tangan Kelantan United FC dalam aksi penuh rancak dan dramatik Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Selasa.

Selepas berjaya menjinakkan Kuala Lumpur (KL) City FC dan PDRM FC, skuad Hobin Jang Hobin yang turun dengan semangat waja dikejutkan gol pendahuluan lawan m-14 menerusi jaringan OJ Porteria yang bijak mencuri bola dengan menghukum kesilapan benteng pertahanan Annas Rahmat sebelum meletakkan Kelantan United di hadapan.

Kemudian, disusuli gol kedua yang disudahkan begitu baik oleh rembatan voli Syazwan Zainon sekali gus menjaringkan gol pertamanya bersama kelab m-33.

Enggan mengalah, The Jangs cuba merapatkan kedudukan sebelum menuju bilik persalinan menerusi jaringan Shahrel Fikri Fauzi m-36 hasil gerakan terancang dari luar kotak penalti pelawat.

Bersambung babak kedua, strategi K Devan menukar taktikal membuahkan hasil selepas Hafiz Ramdan menyamakan kedudukan buat Negeri Sembilan dengan satu rembatan tepat ke penjuru gol.

Namun begitu, kapten veteran berusia 41 tahun Indra Putra Mahayuddin tenang menyempurnakan sepakan penalti dimiliki pada baki 10 minit perlawanan.

Ketika Kelantan United diambang kemenangan, muncul pemain gantian Filemon Anyie Standly menyelamatkan maruah Negeri Sembilan dengan hantaran terus yang menerjah jaring m-90+5.

Selepas menamatkan 12 perlawanan, NSFC kini berada di tangga ke tujuh Liga Super dengan mengumpul 17 mata hasil empat kemenangan, lima seri dan tiga tewas.