INSIDEN gol sendiri dan layangan kad merah menjadi punca Perak terpaksa berputih mata tunduk 1-3 di tangan Terengganu FC (TFC) di gelanggang lawan, semalam.

Pengendalinya, Yusri Che Lah, berkata, Perak berjaya menunjukkan kemampuan untuk bersaing dengan TFC apabila mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-61.

Namun Yusri terpaksa akur jaringan sendiri Shivan Pillay yang tertolak masuk bola muntah daripada penjaga gol, Haziq Nadzli menyaksikan TFC kembali mendahului.

Lebih malang buat Perak selepas tonggak import, Luiz Henrique diarah keluar padang oleh pengadil, Suhaizi Shukri gara-gara layangan kad kuning kedua minit ke-76.

“Perak bermain baik untuk berada dalam permainan ketika masih 1-1 namun kami bolos gol kedua terlalu cepat selepas mengikat kedudukan berpunca gol sendiri.

“Layangan kad merah kepada Henrique selepas itu membunuh saki-baki perjuangan pemain Perak malam ini (semalam) dan TFC kemudian menjaringkan gol ketiga mereka.

“Sepatutnya ketika terikat 1-1, kami mampu mendominasi perlawanan dan tidak membuat kesilapan tetapi sebaliknya pula yang berlaku,” katanya kepada FLASH SUKAN.

May be an image of 2 people, people playing American football, people playing football and text

Luciano Guaycochea menjaringkan penalti semangat m-61 namun tak kekal lama apabila bolos kembali lima minit kemudian.

Yusri bagaimanapun tetap memberi kredit kepada skuad The Bos Gaurus yang berjaya menyaingi kekuatan TFC dan tidak memberi laluan mudah kepada tuan rumah.

Jelasnya, Perak memiliki beberapa peluang terutama pada babak pertama namun dikecewakan ketumpulan penyudah selain dinafikan tiang dan palang gol.

“Walaupun ketika ketinggalan dalam 45 minit pertama, kami tidak berputus asa dan mempunyai dua atua tiga peluang yang gagal diterjemahkan kepada jaringan gol.

“Itu yang akan diperkemaskan nanti untuk Perak bangkit pada perlawanan menentang PDRM FC di laman sendiri, minggu depan,” katanya.